Followers

Tuesday, October 12, 2010

*Bentuk-bentuk Perenggan*

Karangan yang menarik memerlukan penyusunan isi karangan mengikut perenggan-perenggan tertentu. Pada asasnya, setiap perenggan memiliki satu kesatuan isi utama dan kesemua isi atau idea utama ini hendaklah mempunyai perkaitan dengan tajuk karangan tersebut agar pembaca dapat memahami, selain itu ia juga dapat memperlihatkan karangan tersebut sebagai satu komposisi yang tersusun (Kamarudin Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz 1997). Kata ‘pemerengganan’ berasal daripada kata dasar ‘perenggan’. Perenggan ditakrifkan dalam Kamus Dewan(2005) sebagai bahagian daripada muka atau bab dalam buku, rencana yang terdiri daripada beberapa baris. Menurut Jo Ray McCuen dan Anthony Winkler (2006) pula, perenggan berasal daripada perkataan Latin, iaitu paragraphus yang bermaksud suatu lambang yang menandakan pembentukan bahagian baharu. Sulaiman Masri dan Ahmad Khair Mohd Nor (2007) berpendapat bahawa perenggan mempunyai dua peranan, iaitu peranan secara logik dan peranan secara visual.
Berdasarkan pembahagian peranan perenggan yang utarakan oleh Sulaiman Masri dan Ahmad Khair, perenggan yang berperanan secara logik adalah perenggan yang membantu pembaca mengikuti hujahan iaitu dengan menunjukkan pergerakan satu isi kepada satu isi yang lain dalam karangan tersebut. Bagi perenggan yang berperanan secara visual pula, perenggan ini memisahkan keseluruhan teks dan muka surat yang memberi tarikan kepada pembaca. Perenggan yang mempunyai bilangan yang banyak menyebabkan pembaca melangkau lebih banyak muka surat, manakala bagi bilangan perenggan yang sangat sedikit akan menyusahkan pembaca. Penyusunan perenggan yang betul dari segi visual dapat ditentukan oleh saiz muka surat, saiz huruf, ruang antara teks, tajuk, jadual, ilustrasi dan kapsyen. Secara umumnya, pemerengganan penting dalam menyampaikan idea-idea yang konkrit dan tersusun. Idea atau isi yang disampaikan oleh pengarang dapat disampaikan dengan lebih jelas dan terperinci serta secara langsung memudahkan pembaca mengikuti idea-idea penulis dengan lebih licin (Kamarudin Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz 1997).
Namun, tidak semua perenggan memerlukan ayat topik atau ayat tesis yang konkrit. Hal in demikian kerana, ada sesetengah karangan yang kreatif yang tidak mempunyai ayat topik namun berdasarkan penerangan yang bernas dan logik maka secara tidak langsung ayat topik telah berada dalam perenggan tersebut (Ruth Baygell 2003).
Secara amnya, sesebuah karangan memerlukan kira-kira lima isi utama. Oleh itu, perlu ada lima perenggan untuk setiap isi utama ini. Namun, karangan yang mempunyai kurang daripada lima isi utama juga boleh diterima kerana dalam karangan tidak mewajibkan sebarang bilangan had isi utama. Setiap perenggan ini merupakan unit-unit wacana yang saling berhubung dan seterusnya membentuk sebuah karangan (Awang Sariyan 2004). Namun, tiap-tiap satunya tidak harus  dihurai dengan terlalu panjang berbanding dengan perenggan-perenggan yang lain. Setiap perenggan yang dibina perlu berada dalam keadaan seimbang antara satu sama lain. Maka, bagi membentuk pemerenggan yang seimbang dan baik, ia memerlukan ciri-ciri kesatuan, pertautan dan penekanan. Ciri kesatuan bererti bahawa sesebuah perenggan yang dihasilkan hendaklah sedapat-dapatnya menjurus kepada satu hal atau idea sahaja. Pencampuran idea dalam satu perenggan akan membuatkan pembaca hilang fokus tentang idea yang ingin disampaikan (Awang Sariyan 2004). Apabila setiap perenggan menjurus kepada isi-isi utama yang digambarkan dan membina pertautan ayat antara perenggan maka terhasilah sebuah karangan yang utuh.
 Bagi ciri pertautan pula ialah pertalian antara isi yang dikemukakan dengan judul dan pertalian antara ayat. Selain itu, pengolahan karangan juga melibatkan kepelbagaian bentuk dalam menyusun isi, huraian dan contoh yang terdapat dalam setiap perenggan. Menurut Mohd Azhar Abd. Hamid et al. (2001), dalam pembentukan perenggan, kedudukan ayat topik yang berlainan akan menghasilkan bentuk-bentuk perenggan iaitu bentuk deduktif, induktif, deduktif- induktif, dan dampingan. Bentuk-bentuk perenggan inilah yang menjadi punca penghubung antara perenggan.
Manakala menurut Drs. Andi Baso Mappatoto (1992), penulisan karangan ibarat menyusun bata bagi membina tembok. Pelbagai bentuk dan teknik dapat digunakan untuk menyusun bata-bata tersebut, sama seperti menyusun perenggan untuk membentuk karangan. Antara pola atau bentuk yang boleh digunakan dalam menghurai sesuatu isi utama ialah pola tematik, spiral dan blok. Pola tematik dibentuk dengan memberi penegasan kepada isi utama, sama seperti perenggan bentuk deduktif. Bagi pola spiral pula, pola yang memberi penegasan isi utama diakhir perenggan dan pola ini sama dengan perenggan berbentuk induktif. Seterusnya, pola blok pula sama dengan perenggan berbentuk deduktif-induktif kerana binaannya memberi penegasan kepada isi utama di awal dan di akhir perenggan.
Bagi perenggan yang dibentuk dari jenis deduktif, ia melibatkan penyusunan isi utama, huraian dan contoh yang berbentuk segi tiga iaitu dimulai dengan isi utama, huraian serta contoh yang berkaitan. Menurut Abu Hassan Abdul dan Nik Hassan basri Nik Ab. Kadir (2009), perenggan deduktif digunakan dalam membina perenggan karangan jenis analisis. Hal ini demikian kerana, struktur perenggan deduktif dimulai dengan idea umum dan seterusnya diikuti dengan idea-idea khusus serta seterusnya diakhiri dengan idea umum. Idea umum dinyatakan semula sebagai kesimpulan umum pada bahagian akhir perenggan bagi membuktikan kebenaran kenyataan dalam ayat pertama.  Berikut merupakan petikan perenggan berbentuk deduktif:
Martabat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan harus dikembalikan. Bahasa Melayu telah menjalankan fungsinya sebagai bahasa perpaduan dengana amat baik dan berkesan sehingga dapat mewujudkan persefahaman di kalangan penduduk pelbagai etnik di negara ini. Faktor ini tidak harus dilupakan kerana dengan adanya perpaduan inilah maka negara kita dapat dibangunkan dan dimajukan seperti yang ada sekarang.
(Mazlan A. Aziz, Pemertabatkan Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Tinggi Swasta, dalam Jurnal Dewan Bahasa 1999)

Perenggan jenis induktif dibina bermula dengan huraian, contoh dan isi utama. Menurut Sulaiman Masri dan Ahmad Khair Mohd. Nor (2004), perenggan induktif dimulai dengan pengembangan, iaitu dimulakan dengan huraian, diikuti bukti atau contoh dan diakhiri dengan isi utama. Istilah induktif itu sendiri dari sudut bidang falsafah menunjukkan kaedah penghuraian sesuatu konsep atau teori dengan terlebih dahulu mengemukakan perincian dan ditutup dengan prinsip atau rumusan (Awang Sariyan 2004). Maka atas pengertian itulah perenggan ini dibina. Berikut adalah petikan  yang menunjukkan perenggan bentuk induktif:
Selainskizofenia, psikosis, kemurungan, fobia, kumpulan campuran – penagih dadah, ketagih minuman beralkohol, gangguan tingkah laku seks, gangguan kanak-kanak, gangguan mengawal perasaan, kecelaruan personaliti, gangguan tabiat pemakanan, dan masalah identiti merupakan penyakit mental yang berbahaya tetapi tidak seserius pesakit skizofrenia yang berpontesi besar mengancam nyawa orang lain.
(Aminah Janang, Jenayah Pesakit Mental, dalam Dewan Masyarakat, Mac 2008)

Dari sumber yang sama turut menyatakan bahawa, bagi perenggan deduktif-induktif pula ialah satu perenggan yang telah bergabung oleh dua jenis bentuk perenggan iaitu perenggan deduktif dan perenggan induktif. Menurut Jo Ray McCuen dan Anthony C. Winkler (2006) pula, perenggan deduktif- induktif  mempunyai bentuk seperti ‘sandwich’ iaitu dimulakan dengan isi utama, seterusnya huraian dan akhirnya adalah penegasan terhadap isi utama. Dalam perenggan ini terdapat dua ayat isi yang ditulis diawal perenggan, kemudian ditulis semula dalam pengembangan isi berkenaan. Perenggan berbentuk deduktif-induktif ini dikatakan lebih canggih dan berkesan. Hal ini demikian kerana dengan mengemukakan isi utama di awal dan di hujung perenggan, maka pembaca mudah mengingat dan menangkapi isi yang hendak disampaikan oleh penulis. Perenggan berbentuk gabungan deduktif- induktif seperti berikut:
Perangkaan menunjukkan bahawa bahawa di kalangan kanak berumur bawah 18 tahun, bilangan kanak – kanak dalam kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun adalah yang paling tinggi mengalami lebih berat badan. Masalah pemakanan, sama ada kekurangan zat makanan atau berlebihan zat makanan, ia lebih banyak berlaku dalam kumpulan umur ini. Manakala tabiat makan tidak sihat di kalangan mereka semakin membimbangkan. Perangkaan ini menunjukkan trend yang amat membimbangkan.
(Garam Berlebihan Bawa Penyakit, dalam Mingguan Malaysia, Mei 2010:3)

Seterusnya perenggan berbentuk dampingan, perenggan ini terbentuk apabila ayat topik berada di tengah-tengah perenggan dan permulaan serta akhir perenggan disokong  dengan huraian dan contoh (Mohd. Azhar Abd. Hamid et.al. 2001). Berikut adalah contoh petikan yang mempunyai perenggan berbentuk dampingan:
Jangan malu bercakap dalam bahasa Inggeris biarpun penggunaan ayatnya tidak betul atatu bertutur dalam bahasa ‘rojak’. Tingkatkan keyakinan diri untuk bercakap dengan orang yang mahir dalam bahasa tersebut. Secara tidak langsung, anda boleh belajar daripada rakan yang mahir cara bertutur dengan betul. Anggap teguran tersebut sebagai penguat semangat untuk anda perbaiki.
(Fateh Saphilla Mohamed Isa, Tip Mahir Bahasa Inggeris, dalam Kosmo Februari 2010)

Walaupun terdapat ketidaksamaan dalam bilangan jenis atau bentuk perenggan yang diutarakan, namun bentuk-bentuk ini dalam lingkungan yang sama dan penulis juga bebas untuk memilih mana-mana bentuk perenggan yang ingin dibina berdasarkan kesesuaian isi yang ingin dihuraikan. Bahkan bentuk-bentuk perenggan ini juga boleh bergabung dalam satu karangan dan seterusnya kepelbagaian bentuk perenggan dapat membantu kepada menghidupkan lagi karangan tersebut.
Rujukan
Jo Ray McCuen & Anthony C. Winkler (2006), From Idea To Essay: A Rhetoric, Reader &          Handbook (Elevent Edition), US: Perason Edu. Inc.

Mohd. Azhar Abd. Hamid et.al. (2001), Pengenalan Kepada Penulisan Ilmiah, Skudai:    Universiti Teknologi Malaysia.
Awang Sariyan (2004), Tertib Mengarang: Asas Retorik Untuk Pelajar dan Pendidik,                    Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...